Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan solidariti untuk Datuk Seri Najib Razak pada 6 Januari ini bukan medan untuk menyerang mahupun mempertikaikan sesiapa sebaliknya lambang penghormatan kepada seorang pemimpin yang pernah menyumbang kepada UMNO dan negara.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, ia merupakan inisiatif parti bukan gabungan politik untuk kepentingan peribadi atau mana-mana pihak lain.

“Perhimpunan ini tiada kena-mengena dengan Kerajaan Perpaduan. Ia tidak sama seperti himpunan anjuran anda sebelum ini yang membawa kekacauan serta keserabutan.

“Lim Guan Eng perlu memahami bahawa solidariti ini adalah tentang nilai keadilan bukan permainan politik. Siapa anda untuk mempertikaikan UMNO?

“Kenyataan anda hanya menunjukkan ketidakfahaman terhadap aspirasi solidariti ini,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Guan Eng yang juga Pengerusi DAP memberi amaran bahawa kerjasama UMNO dan Pas dalam perhimpunan solidariti kepada Najib yang juga bekas Perdana Menteri boleh menimbulkan keraguan terhadap kedudukan dalam kerajaan.

Guan Eng dilaporkan berkata, tindakan UMNO bukan sahaja memberi kesan kepada kestabilan politik malah turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keikhlasannya dalam membentuk kerajaan pada 2022 atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Perhimpunan Solidariti Bersama Najib Razak di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya, 6 Januari.

UMNO dan Pas bersetuju mengadakan perhimpunan setiakawan untuk Najib di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 6 Januari 2025 susulan pendengaran mengenai titah adendum bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Fariz yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang berkata, kenyataan tidak bertanggungjawab Guan Eng itu sebenarnya mampu merosakkan keyakinan rakyat terhadap konsep perpaduan yang dicanang.

“Saya berdiri dengan tegas untuk menunjukkan kebersamaan ahli-ahli UMNO dan mereka yang menyokong keadilan terhadap Najib Razak. Lagi kuat anda bidas, lagi ramai yang akan hadir menunjukkan solidariti.

“Saya ingin ingatkan Guan Eng bahawa fokus beliau seharusnya tertumpu kepada tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dan Pengerusi DAP.

“Usah mengalih perhatian dengan kenyataan retorik yang langsung tidak membina. Adakah Kerajaan Perpaduan goyah hanya kerana sebuah perhimpunan solidariti?” soalnya.

Menurut Fariz, Pengerusi DAP itu perlu sedar sebagai parti politik, Pas sama seperti UMNO yang mempunyai hak untuk menunjukkan solidariti terhadap keadilan dan ia melangkaui perbezaan politik.

“Apabila anda mengkritik usaha ini, adakah anda juga lupa bahawa Pas pernah mempertahankan pemimpin anda suatu ketika dahulu demi keadilan? Solidariti ini adalah tentang prinsip yang sama, bukan agenda politik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menjemput Guan Eng untuk hadir ke perhimpunan Solidariti Najib jika benar beliau faham erti keadilan dan perpaduan.

“Jangan hanya menjadi ‘pengulas tepi’ dengan membuat tuduhan liar tanpa asas. Perhimpunan ini adalah cerminan kebersamaan kami dalam UMNO dan mereka yang percaya kepada keadilan.

“Kami akan terus berdiri teguh kerana keadilan tidak pernah tunduk kepada retorik politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast