KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli diingatkan memberi fokus sepenuhnya kepada amanah yang dipikul bukan terus terjebak dalam retorik politik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat.
Exco Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Anil Sandhu berkata, sebagai seorang pemimpin muda, Adam Adli harus menjadi teladan dengan menunjukkan keberanian, ketelusan dan kematangan dalam kepimpinan.
“Tanggungjawab utama seorang pemimpin ialah mencipta penyelesaian bukan konflik. Sebagai timbalan menteri, beliau mempunyai peluang besar untuk membuktikan kemampuannya.
“Saya mohon Adam Adli menjadi pemimpin yang berani, jujur dan konsisten dengan idealisme perjuangan asal.
“Negara memerlukan pemimpin muda yang mampu mengangkat aspirasi rakyat dengan tindakan yang tegas dan berkesan, bukan sekadar kata-kata,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahad lalu, MalaysiaGazette melaporkan Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menggesa Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh menarik semula kenyataannya didakwa memperlekehkan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Adam Adli berkata, tidak wajar Dr Akmal mempertikaikan kuasa pengampunan YDPA dan jika tidak ditarik balik boleh mencalarkan pandangan umum terhadap keluhuran institusi Diraja.
Sebelum ini, Dr Akmal menerusi akaun Facebook miliknya mempersoalkan pengampunan Diraja yang diperolehi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sejauh mana proses itu dibawa kepada Lembaga Pengampunan.
Anil yang juga Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Sabah berkata, tindakan Adam Adli menggesa pihak lain untuk berdiam diri hanya menyerlahkan ketidakupayaan untuk menjawab persoalan secara matang dan profesional.
“Rakyat mempunyai hak mutlak untuk mengetahui dan memahami ketelusan proses pengampunan Diraja (Anwar). Isu ini bukan soal politik semata-mata, tetapi melibatkan integriti dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negara serta institusi yang kita junjung,” katanya.
Bagaimanapun Anil berkata, kenyataan Adam Adli yang mempertahankan pengampunan diraja Anwar yang selari dengan Perlembagaan tidak dipersoalkan.
“Namun, persoalan utama adalah sejauh mana proses tersebut dijalankan dengan telus. Jika proses pengampunan itu benar-benar telus, maka tolong jawab segala hujah Dr Akmal dengan fakta yang kukuh,” katanya.
Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Lahad Datu itu menggesa semua pihak agar kembali kepada persahabatan dan kesatuan sebenar dalam Kerajaan Madani.
“Saya juga ingin mengajak semua agar hadir memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada 6 Januari 2025 nanti. Saya mendoakan agar keadilan dapat diberikan kepada beliau,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















