Motosikal dinaiki dua pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Persiaran Pekeliling, Bandar Baru Bangi. Foto PDRM.

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar sekolah menengah maut manakala rakannya cedera apabila motosikal dinaiki mereka terbabit dalam nahas di Jalan Persiaran Pekeliling, Bandar Baru Bangi dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan sebuah motosikal dan kereta sekitar pukul 4.59 petang.

“Siasatan mendapati semasa kejadian pemandu kereta merupakan seorang wanita berusia 64 tahun dalam perjalanan menghala ke Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.

“Ketika pemandu wanita itu melalui Jalan Persiaran Pekeliling, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal datang dari arah kanan telah melanggar kereta terbabit. 

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa merupakan pembonceng disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya penunggang motosikal mengalami kecederaan di kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Naazron, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat manakala pemandu wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes terbabit akan disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beliau juga menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang lalu lintas.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi balai polis yang berdekatan atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Ahmad Zahrein Muhd Suod  di talian 017-3818422 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast