KOTA TINGGI – Seorang gadis maut selepas motosikal ditunggang melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membuat pusingan U di Jalan Dato Onn, Bandar Penawar di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pukul 4.50 petang melibatkan motosikal Yamaha Y15ZR dan MPV Perodua Kenari.
“Kemalangan berlaku apabila Perodua Kenari dipandu seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun datang dari arah Bandar Penawar telah menukar haluan dari kiri ke kanan membuat pusingan U.
“Tiba-tiba motosikal yang ditunggang mangsa iaitu seorang wanita berusia 21 tahun datang dari arah belakang tidak sempat mengelak.
“Motosikal tersebut melanggar bahagian sisi kanan Perodua Kenari tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, akibat kemalangan tersebut wanita tersebut cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Perodua Kenari tidak cedera.
Mayat mangsa katanya, dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
Menurutnya, kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun selain denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu sehingga lima tahun.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang dan peraturan bagi keselamatan di jalan raya.
Tambahnya, sebarang maklumat bagi membantu pihak polis boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Zamiruddin Yaakob 011-39105277.- MalaysiaGazette

















Innalillahiwainnalillahirajiun. Sesungguhnya setiap perbuatan kita pasti ada balasannya. Kalau dah bagi signal tolonglah buka mata luas-luas pandang cermin sisi dan cermin belakang sebelum belok. Jangan jadikan nyawa orang lain sebagai tebusan kebodohan kita sendiri. Sentiasa alert bila kita nak ke mana-mana bukannya dengan dunia kita sendiri.