KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menambah bilangan anggota polis bantuan di stesen-stesen yang tidak mempunyai pintu platform automatik (PSD) dan yang mempunyai bilangan pengguna orang kurang upaya OKU yang tinggi.
Menurut Prasarana, penambahan anggota polis bantuan ini adalah untuk mempertingkatkan pemantauan di platform bagi mengenal pasti dan memberi pertolongan dengan lebih efisien kepada
pengguna khususnya OKU dan warga emas.
“Tatacara pengendalian operasi (SOP) ditambah baik bagi meningkatkan mutu pemantauan khususnya di platform,” katanya menerusi kenyataan, hari ini, sambil menambah Prasarana akan menyalurkan bantuan ihsan kepada keluarga OKU buta maut selepas selepas terjatuh di atas landasan dan digilis tren di Stesen LRT Titiwangsa, di sini, Pada sabtu lalu.
Mangsa dipercayai terjatuh di kawasan rel sebelum dilanggar oleh sebuah tren yang melalui kawasan tersebut.
Menurut Prasarana, pihaknya juga sedang dalam proses menaiktaraf kepada kamera litar tertutup pintar atau Smart CCTV yang berupaya mengesan perilaku aneh dan berisiko.
Tambahnya, langkah ini dapat memberi amaran awal kepada pihak operasi sekiranya berlaku sebarang insiden khususnya
di platform.
Tambah kenyataan itu, kerja-kerja pemasangan kamera dijangka siap pada hujung tahun ini secara beringkat bermula dengan Laluan Monorel sebelum diteruskan ke laluan-laluan lain.
Bagi langkah jangka panjang, katanya, Prasarana sedang dalam perancangan untuk memasang pintu platform automatik (PSD) di Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Kelana Jaya.
Menurut kenyatan itu, fungsi PSD amat penting bagi mengelakkan pengguna turun atau terjatuh ke atas landasan.
Katanya, pemasangan PSD di Laluan Monorel telah siap pada penghujung tahun lepas.
“Satu jawatankuasa telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan dengan lebih terperinci dan hasil laporan tersebut akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Agensi
Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Prasarana akan melaksanakan inisiatif penambahbaikan
yang dicadangkan oleh jawatankuasa ini dengan kadar segera,” ujarnya.
Prasarana berkata, sebagai sebuah penyedia perkhidmatan pengangkutan awam yang prihatin, Prasarana komited untuk memastikan persekitaran perjalanan yang lebih selamat dan mesra OKU.
Oleh itu, Prasarana berkata, ia akan melipatgandakan sesi libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan OKU bagi mendapatkan maklum balas serta memperbaiki prosedur dari semasa ke semasa.
Prasarana menyeru semua pengguna yang memerlukan bantuan tambahan, khususnya OKU, agar mendapatkan khidmat daripada petugas stesen sebelum menaiki tren.
Katanya, semua petugas barisan hadapan telah dilatih untuk mengendalikan keperluan pengguna OKU, warga emas dan kanak-kanak, dan kakitangan stesen kami sentiasa bersedia untuk mengiringi pengguna yang memerlukan agar mereka dapat menikmati perjalanan yang selamat, selesa dan lancar. – MalaysiaGazette















