KUALA LUMPUR – Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 [Akta 676] mula berkuat kuasa pada hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, akta ini, yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 11 Julai 2024, bertujuan untuk memperkukuh perlindungan dan hak saksi kanak-kanak dalam sistem perundangan negara.
Melalui pindaan ini, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 [Akta 676] kini menjadi perundangan utama yang menggariskan peruntukan substantif dan tatacara berkaitan keterangan saksi kanak-kanak.
Sehubungan dengan itu, beberapa akta berkaitan yang turut dipinda bagi memastikan keseragaman dalam sistem perundangan, termasuk Akta Keterangan 1950 [Akta 56], . Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792], Akta Sumpah dan Ikrar 1949 [Akta 1949], Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [Akta 747] dan Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77].
Dengan pindaan ini, kekompetenan saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding berkaitan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 atau mana-mana kesalahan dalam Jadual kepada akta tersebut sekiranya mangsa ialah kanak-kanak, kini akan diuruskan sepenuhnya di bawah Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.
Ini termasuk pensabitan seseorang bagi kesalahan di bawah akta tersebut yang boleh berasaskan keterangan saksi kanak-kanak tanpa sokongan, selaras dengan peruntukan baharu yang diperkenalkan.
“Kerajaan Madani tekad untuk terus memartabatkan kedudukan saksi kanak-kanak dalam sistem keadilan negara dan mengiktiraf peranan penting mereka dalam menegakkan keadilan. Usaha ini juga sejajar dengan komitmen antarabangsa Malaysia, termasuk di
bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak.
“Pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] yang telah dikuatkuasakan pada 10 Julai 2024, adalah antara bukti nyata iltizam kerajaan dalam memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak,” ujarnya.
Azalina menambah, salah satu perubahan utama dalam pindaan ini adalah penambahan Seksyen 6A, yang memperuntukkan pelantikan seorang Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan dua orang Pesuruhjaya Kanak-Kanak.
Proses pelantikan bagi jawatan-jawatan ini kini sedang diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan dijangka selesai dalam masa terdekat dan pelantikan ini akan memastikan suara dan kebajikan kanak-kanak di Malaysia terus diperkasa serta diberi perhatian yang sewajarnya dalam dasar dan pentadbiran negara.
Reformasi undang-undang ini bukan sahaja mencerminkan hasrat murni Kerajaan Madani dalam mengangkat kedudukan saksi kanak-kanak setara dengan saksi dewasa, malah turut mencerminkan jiwa dan nilai rakyat Malaysia yang menjunjung keadilan serta bertekad melindungi golongan yang paling rentan dalam masyarakat.
Jelasnya, kerajaan akan terus komited dalam memastikan hak dan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini sentiasa terpelihara, sejajar dengan prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat. – MalaysiaGazette
















