KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak kerajaan supaya mempercepatkan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik supaya ia dapat dibentangkan dan dilaksanakan dengan segera.
Ketuanya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Akta Pendanaan Politik itu perlu dilaksanakan supaya pihak yang menyumbang dan pihak yang menerima dana politik dapat diketahui.
“Bukan hanya tangkap dan dakwa orang yang menerima. Tetapi tangkap dan dakwa juga orang yang memberi. Baru mereka rasa takut.
“Jika tidak, sampai bila-bila lah rakyat dipermainkan sahaja oleh golongan ini,” katanya menerusi catatan di laman sosial Faceook beliau hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan akan mengadakan mesyuarat bersama setiausaha agung semua parti politik dalam masa terdekat bagi mendapatkan pandangan mengenai cadangan penggubalan RUU Pendanaan Politik.
Menurut Azalina, mesyuarat yang akan dipengerusikannya itu dibuat bagi mendapatkan pandangan dan pendirian parti berhubung cadangan penggubalan akta berkenaan serta membincangkan pelbagai isu berbangkit.
Buat masa ini, tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia sumbangan politik di Malaysia, sebaliknya peruntukan sedia ada hanya berkaitan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memantau perbelanjaan calon pilihan raya bukan perbelanjaan parti.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta dalam sidang media hari ini.
Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan, wang tunai ratusan jutaan ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah safehouse berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang didakwa melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – MalaysiaGazette
















