MUAR – Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan serta merampas dadah, senjata api tiruan dan 50 butir peluru selepas melakukan serbuan di sebuah rumah di Paya Panjang, Bukit Pasir di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mereka diberkas sepasukan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.
“Keempat-empat suspek berkenaan berusia 30 dan 37 tahun dan mereka tidak mempunyai hubungan kekeluargaan.
“Hasil pemeriksaan dalam rumah suspek menemukan satu vanity box mengandungi sepucuk pistol tiruan jenis Glock 17 Austria, satu peluru dengan 50 butir peluru hidup.
“Turut ditemui satu peket plastik lutsinar berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.63 gram dan satu peket plastik lutsinar berisi serbuk warna keperangan disyaki dadah jenis heroin seberat 2.03 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semua suspek dibawa ke IPD Muar untuk tindakan lanjut dan ujian saringan air kencing terhadap keempat-empat mereka menunjukkan positif dadah jenis methamphetamine.
Selain itu katanya, suspek juga mempunyai beberapa rekod lampau dadah, semuanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini untuk mendapatkan perintah reman.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Pihak polis ingin mengingatkan orang ramai bahawa menyimpan atau memiliki senjata api hanya boleh dilakukan oleh individu yang memiliki lesen yang sah daripada pihak berkuasa,” katanya.
Pihak polis tambahnya, tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan serius dalam memastikan ketenteraman awam terjamin.- MalaysiaGazette
















