Kapal tangki yang ditahan Maritim Selangor semalam.

PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal tangki (MT) ketika bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 5.9 batu nautika barat Pulau Pintu Gedong.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan itu dilakukan sekitar jam 3.15 petang.

Kapal berkenaan dikendalikan seorang nahkoda warga Thailand berumur 36 tahun bersama 16 kru berumur antara 20 hingga 55 tahun, terdiri daripada 13 warga Thailand termasuk dua wanita, dua warga Myanmar dan seorang warga Indonesia.

Pemeriksaan mendapati kapal tersebut melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana tidak mendapat kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia serta gagal mengibarkan bendera Malaysia.

Dua kru kapal termasuk Pegawai Dek Kedua dan Jurutera Kedua dibawa ke Jeti PPM Pulau Indah untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Maritim Selangor turut  menahan sebuah bot nelayan tempatan (VNT) ketika rondaan oleh KM DANGA di kawasan perairan Selangor.

Penahanan pertama melibatkan sebuah VNT Kelas C sekitar pukul 1 petang di kedudukan 17 batu nautika barat daya Pulau Tengah.

Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong bersama empat awak-awak warga Myanmar berumur antara 36 hingga 49 tahun.

Kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala pemeriksaan ke atas vesel mendapati ia melanggar syarat lesen kerana menggunakan mata pukat kurang daripada 38 milimeter untuk menangkap ikan.

Kesemua yang terlibat dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Pulau Indah untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast