PUTRAJAYA – Seorang pakar pemeriksa dokumen forensik memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak dapat membuat dapatan ‘konklusif’ sama ada tandatangan Datuk Seri Najib Tun Razak pada beberapa dokumen penting adalah tulen atau sebaliknya.
Ini kerana menurut saksi pembelaan ke-26, Tay Eue Kam, beliau hanya menerima salinan fotostat untuk dianalisis.
Eue Kam mendedahkan perbezaan sememangnya dapat dilihat antara tandatangan pada dokumen yang dipertikaikan seperti salinan cek dan dokumen berkaitan pinjaman AS$975 juta oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada Deutsche Bank Singapore.
Namun tegas beliau, tanpa dokumen asal, sebarang kesimpulan tidak boleh dibuat dengan pasti.
“Apabila hanya berurusan dengan salinan fotostat, kita tidak boleh tolak kemungkinan tandatangan itu telah disalin dan ditampal semula. Pemeriksaan hanya akan tepat jika dokumen asal diberikan,” katanya ketika memberi keterangan hari ini di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Tambah beliau lagi, untuk membuktikan sama ada sesuatu tandatangan itu palsu bukanlah perkara mudah, lebih-lebih lagi jika hanya berdasarkan salinan semula.
Sebelum ini, pihak pembelaan yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa tandatangan Najib pada beberapa dokumen penting telah dipalsukan dan bekas Perdana Menteri itu sendiri dalam keterangannya mendakwa tandatangan serta tulisan tangannya telah ditiru.
Dakwa Najib ini termasuk dalam kes dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang telah menyebabkan beliau di hukum penjara ketika ini.
Untuk makluman, ini adalah kali pertama Najib memanggil saksi pakar bagi menyokong dakwaan pemalsuan tersebut.
Eue Kam mendedahkan beliau menerima tujuh dokumen yang dipertikaikan dan 31 dokumen perbandingan daripada firma guaman Shafee & Co pada 23 April lalu, manakala laporan analisis disediakan pada 3 Mei.
Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan sedang dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan akan bersambung esok, dengan pihak pendakwaan dijangka menyoal balas saksi pakar tersebut. -MalaysiaGazette
















