Lebih 200 doktor dan pekerja kesihatan berkumpul bagi membantah pelaksanana peraturan mewajibkan klinik swasta serta farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan dan meyerahkan memorandum kepada wakil Pejabat Perdana Menteri (PMO) ketika di Laman Perdana, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan mewajibkan semua klinik dan farmasi swasta untuk memaparkan harga ubat bermula 1 Mei lalu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengamal perubatan, termasuk pembantu perubatan yang berkhidmat di klinik swasta.

Peraturan baharu itu yang dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dilihat sebagai usaha kerajaan untuk meningkatkan ketelusan dalam sistem penjagaan kesihatan, sekali gus memberi lebih kuasa kepada pengguna dalam membuat pilihan berdasarkan maklumat harga yang jelas dan terbuka.

Bagaimanapun, bagi pembantu perubatan, Nur Faradillah  Abd Rahman, beliau secara peribadi berpandangan bahawa pameran harga ubat kepada pesakit tidak semestinya perlu dilaksanakan secara menyeluruh.

Namun begitu, beliau tidak menafikan terdapat pesakit yang pernah bertanya atau keliru tentang harga ubat yang diterima.

“Setiap klinik mempunyai struktur keuntungan yang berbeza dan pesakit tidak semestinya perlu tahu tentang margin keuntungan tersebut.

“Ada segelintir pesakit yang bertanya dan mempertikaikan harga, tetapi kebanyakan hanya menerima ubat tanpa bertanya lanjut mengenai kos setiap satu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas tentang cabaran yang mungkin dihadapi jika harga ubat diwajibkan untuk dipaparkan, Faradillah berkata, langkah itu secara prinsipnya baik kerana membantu pesakit membuat keputusan yang lebih telus. 

Namun, ia turut menimbulkan potensi salah faham.

Beliau turut menyatakan kebimbangan tentang kemungkinan wujud persaingan harga tidak sihat antara klinik dan farmasi yang boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan atau lebih membimbangkan, mendorong sesetengah pihak menjual ubat yang hampir tamat tempoh semata-mata untuk bersaing daripada segi harga.

Faradillah menjelaskan, harga ubat biasanya berubah-ubah bergantung kepada pembekal.

“Setiap ubat ada pelbagai jenama dan formulasi. Jadi, sukar untuk meletakkan satu harga tetap kerana keberkesanan ubat juga mungkin berbeza,” jelasnya.

“Setiap pembekal ada harga mereka sendiri, jadi mustahil untuk menyeragamkan semua harga di setiap premis,” tambahnya.

Mengakhiri temu bual, Faradillah tetap menganggap inisiatif kerajaan itu sebagai langkah yang baik untuk melindungi hak pengguna.

“Langkah ini boleh mewujudkan ketelusan dan membolehkan pengguna mengetahui kos rawatan. Tapi, perlu juga difahami bahawa harga bukan segalanya. Kualiti ubat, nasihat profesional dan kesesuaian dengan keadaan pesakit adalah lebih penting,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar ada fleksibiliti dalam pelaksanaan peraturan ini, khususnya bagi ubat-ubatan yang mempunyai variasi jenama dan dos yang berbeza.

“Inisiatif ini wajar disokong, tetapi pelaksanaannya harus seimbang agar tidak membebankan pengamal perubatan swasta dan dalam masa sama, melindungi pengguna secara adil,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast