JOHOR BAHRU – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan lebih 30,000 pengundi supaya tidak ‘menjual’ undi mereka pada pemilihan PKR 2025 yang akan berlangsung minggu ini.
Beliau mahu pengundi menggunakan kuasa undi sebaik mungkin bagi menjamin kelangsungan perjuangan reformasi yang menjadi asas penubuhan PKR sejak lebih dua dekad lalu.
Nik Nazmi secara sinis berpesan kepada mereka agar tidak terpengaruh dengan pihak tertentu yang cuba mempengaruhi undi.
“Orang boleh telefon tengah malam, berkempen macam-macam tapi akhirnya keputusan itu keputusan kita. Undi itu rahsia dan hak kita.
“Undi itu rahsia, saudara-saudara. Jadi saya harap kita gunakan kuasa tersebut. Jangan kita jual undi dengan begitu murah kerana inilah yang akan tentukan masa depan bagi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (Hiruk) terakhir di Hotel New York di sini malam tadi.
Turut hadir -Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun; Chang Lih Kang dan Nik Nazmi Nik Ahmad, Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru dan Calon Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail, yang juga Ahli Parlimen Ampan.
Sebelum ini media melaporkan, program Jelajah Hiruk merupakan inisiatif yang digerakkan bagi memastikan PKR kekal berpegang kepada idealisme reformasi khususnya ketika berada dalam tampuk pemerintahan negara.
Nik Nazmi berkata, pemilihan parti kali ini bukan sekadar soal jawatan, sebaliknya menjadi titik tolak kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“Saya percaya bahawa undi ini ataupun pemilihan ini, saya bukan nak menidakkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
“Saya, saudara Rafizi dan Nurul Izzah, kami bertiga merupakan sahabat sejak awal saya menyertai parti, lebih 20 tahun lalu tetapi buat masa ini, saya merasakan gandingan terbaik bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah saudara Rafizi Ramli,” katanya.
Menurutnya, kejayaan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada 2022 adalah hasil gandingan mantap tersebut ketika PKR berada pada tahap paling rendah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Dalam pada itu, Nik Nazmi turut memberi jaminan bahawa beliau bersama pasukan kepimpinan akan terus bekerja keras untuk memastikan kemenangan parti bukan semata-mata untuk jawatan, tetapi demi menjayakan agenda reformasi.
“Insya-Allah dengan Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun), kami yang juga telah diberi amanah dalam Kabinet akan terus bekerja keras sekiranya diberikan semula kepercayaan.
“Bukan semata-mata untuk jawatan atau kuasa tetapi supaya agenda reformasi yang kita janjikan kepada rakyat dapat dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette














