SPRM hakim
Logo SPRM

ALOR SETAR – Seorang pengarah urusan syarikat bergelar Datuk bersama dua lagi individu direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM48,000 kepada sebuah agensi pasukan keselamatan.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kesemua suspek berusia 50-an yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita ditahan sekitar 4 hingga 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah di sini.

“Suspek utama disyaki melakukan perbuatan berkenaan antara 2020 hingga 2023 yang melibatkan tuntutan pembekalan makanan mentah, basah dan kering berjumlah kira-kira RM48,000 kepada pasukan keselamatan yang menjalankan penugasan kawalan di pos barisan hadapan.

“Turut ditahan dua kakitangan syarikat pembekal yang disyaki bersubahat dengan suspek utama dalam menyediakan dan mengemukakan dokumen tuntutan yang dipercayai tiada pembekalan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast