KUALA LUMPUR – Polis membuka satu kertas siasatan berhubung penganjuran perlumbaan basikal lajak yang dijadualkan berlangsung di Damansara Damai, di sini, esok.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya mengesan satu video promosi mengenai perlumbaan itu yang dimuat naik di laman sosial TikTok, semalam.
Hasil siasatan mendapati video berdurasi 29 saat itu memaparkan sekumpulan remaja menunggang basikal lajak di atas jalan raya, selain turut menyertakan maklumat berkaitan penganjuran perlumbaan berkenaan.
“Perlumbaan tersebut dirancang diadakan di kawasan Damansara Damai pada 24 Mei ini.
“Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menganjurkan pertandingan membabitkan kenderaan tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pihak polis juga sedang giat mengesan individu atau pihak yang menganjurkan perlumbaan itu bagi membantu siasatan lanjut.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan agar menyalurkannya melalui Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
“Kami mengingatkan semua pihak agar mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang kejadian kemalangan.
“Tiada kompromi akan diberikan dengan mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















