Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil bercakap kepada media selepas meninjau persediaan sempena Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024/2025 yang akan bermula pada hari ini sehingga 24hb ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. Foto MOHD ADZLAN, 22 MEI 2025.

JOHOR BHARU – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini menjelaskan bahawa beliau tidak menerima sebarang maklumat rasmi mengenai dakwaan satu perhimpunan berbaju hitam yang didakwa akan berlangsung sekitar berlangsungnya Kongres Keadilan 2025 di sini hari ini.

Fahmi menjawab pertanyaan media mengenai dakwaan tular bahawa terdapat kumpulan tertentu akan berhimpun sebagai tanda solidariti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli, menjelang pemilihan parti.

“Saya tak tahu. Saya tahu di Kuala Lumpur ada disebut akan ada perkumpulan esok ‘Daulat Melayu’. Saya dengar juga, tapi tak pasti sama ada ia rasmi atau tidak,” katanya.

Ketika diminta mengulas sama ada beliau mempunyai nasihat kepada mana-mana pihak yang bercadang untuk menganjurkan perhimpunan, Fahmi menegaskan bahawa fokus utama pada ketika ini adalah perjalanan kongres parti yang sedang berlangsung.

“Kita berhimpun untuk berkongres. Jadi kita berkongreslah dulu,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, kata Fahmi, proses pengundian secara dalam talian bagi Pemilihan Keadilan 2025 berjalan lancar tanpa sebarang masalah capaian internet dilaporkan dari lokasi-lokasi utama seperti Danga Bay, Berjaya Waterfront, Kota Kinabalu dan Kuching.

Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat sudah bermula pagi tadi sekitar 8 pagi dan dijangka berakhir 5 petang merangkumi pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita.

Presiden PKR yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyampaikan ucapan dasar sekali gus merasmikan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada sebelah malam, hari sama. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast