Pengarah, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Aniza Kamarulzaman (tengah) bergambar selepas melakukan gimik perasmiaan ketika hadir pada Majlis Pembukaan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang ke-42 Tahun 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 23 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) seharusnya disifatkan sebagai medan mengangkat martabat buku selain memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan (KPM), Aniza Kamarulzaman berkata, ia bukan hanya acara tahunan sebaliknya wadah menyemarakkan eksosistem ilmu dalam pelbagai lapisan masyarakat.

“Saya melihat PBAKL kali ke 42 ini menampilkan pelbagai keterujaan baharu termasuklah pempamer dari serata dunia, kerjasama pelbagai kementerian dan rakan strategik bagi mengangkat ekosistem perbukuan.

“Tema PBAKL tahun ini iaitu ‘Buku: Membaca dan Memimpin’, amat bererti buat kita semua kerana ia bukan hanya slogan tetapi seruan strategik untuk memperkukuh budaya membaca sebagai asas pembinaan pemimpin masa depan.

“Sebagai agensi bertanggungjawab terhadap sumber dan teknologi pendidikan, BSTP melihat PBAKL sebagai ruang sinergi antara cetakan dan digital, pendidik dan pengkarya serta antara pelajar dan pemikir.

“Ini jelas merujuk kepada satu pendekatan menyeluruh. Kita juga meraikan usaha memperluas akses, memartabatkan penerbit tempatan dan mendidik generasi celik informasi,” katanya.

Pengarah, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Aniza Kamarulzaman menyampaikan ucapan perasmian ketika hadir pada Majlis Pembukaan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang ke-42 Tahun 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 23 MEI 2025.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembuka Tirai PBAKL Ke-42 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) Kuala Lumpur yang turut dihadiri Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron di sini hari ini.

PBAKL 2025 berlangsung mulai hari ini hingga 1 Jun depan menyasarkan lebih 1.9 juta pengunjung menghadiri pesta sepanjang 10 hari penganjuran, menjadikan ia antara acara buku paling mendapat sambutan di dunia. 

Penganjuran terbesar dalam sejarah turut menyediakan 1,172 reruai membabitkan 258 pempamer mengambil bahagian termasuk 28 pempamer antarabangsa daripada negara ASEAN, Iran, United Kingdom (UK), serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

PBAKL diiktiraf antara 12 festival sastera terbaik dunia oleh portal pelancongan Zicasso berpangkalan di Silicon Valley, Amerika Syarikat (AS). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast