Gerakan Pas
Oh Tong Keong

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri supaya menjelaskan secara terperinci kepada rakyat berhubung perbelanjaan sebanyak RM3.31 juta bagi pembelian 15 buah kenderaan rasmi baharu jenis Toyota Camry 2.5V (AT) (CBU) yang diperoleh pada 4 Mac lalu.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, penjelasan perlu merangkumi kriteria penilaian, prosedur tender dan latar belakang pembekal yang berjaya, agar rakyat mengetahui perkara sebenar di sebalik pembelian tersebut.

Beliau melahirkan rasa kesal apabila Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sekali lagi mengulangi kesilapan lalu dengan membelanjakan jutaan ringgit pada waktu yang disifatkan sebagai tidak sesuai khususnya ketika rakyat berdepan pelbagai tekanan kos sara hidup.

“Tindakan kerajaan negeri menggantikan kereta rasmi untuk 15 pegawai kanan ini amat mengecewakan, memandangkan negeri sedang menghadapi defisit fiskal tahunan sehingga terpaksa memohon pendahuluan sebanyak RM100 juta daripada kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk mengenakan cukai tambahan kepada rakyat, menjual tanah milik negeri dan memotong bantuan kebajikan kepada golongan yang memerlukan namun dalam keadaan tersebut, mereka masih sanggup berbelanja untuk keselesaan golongan atasan.

“Meskipun peraturan membenarkan pertukaran kenderaan rasmi setiap lima tahun, ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk pembelian baharu dalam situasi kewangan negeri yang tenat dan rakyat yang terbeban,” katanya hari ini.

Tong Keong turut mengimbas kembali insiden pada tahun 2021 ketika pandemik Covid-19 melanda di mana kerajaan negeri tetap membelanjakan RM450,000 untuk kereta Mercedes-Benz Ketua Menteri dan RM5 juta bagi pengubahsuaian pejabat Exco, walaupun ketika itu menghadapi defisit besar sehingga perlu menggunakan rizab negeri.

“Walaupun Kon Yeow mengakui pada waktu itu bahawa masa penukaran kereta tidak sesuai dan berjanji akan bertanggungjawab, tiada sebarang tindakan konkrit diambil termasuk memulangkan kenderaan atau menanggung sendiri kos pembelian tersebut.

“Malah dalam situasi kewangan negeri yang semakin meruncing, kerajaan Pulau Pinang perlu lebih berhati-hati dan cermat dalam menguruskan perbelanjaan serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast