Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap pada sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan GCC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 MEI 2025

KUALA LUMPUR – ASEAN perlu keluar daripada pendekatan ekonomi biasa susulan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat serta kesan peningkatan tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) yang merubah landskap perdagangan serta pelaburan rantau itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, persetujuan itu antara yang dicapai menerusi Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-25 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini.

Menurut beliau, para anggota AECC secara kolektif mengakui ASEAN perlu mengamalkan strategi ekonomi yang lebih berani, pantas dan berpandangan jauh ke hadapan.

“Kita perlu melindungi dan memajukan kepentingan sosioekonomi ASEAN.

“Kita telah menegaskan semula bahawa keutamaan ASEAN iaitu tidak berpihak, neutral dan bersatu perlu kekal sebagai tunjang ketahanan dan kejayaan kita.

“Kepelbagaian rantau ini, kekuatan ekonomi kolektif, kestabilan politik dan komitmen bersama berfungsi sebagai asas kukuh untuk menghadapi cabaran semasa dan masa depan dengan jayanya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat AECC ke-25 tersebut.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut berkongsi beberapa perkara yang berjaya dicapai menerusi Mesyuarat AECC ke-25 antaranya berkenaan status inisiatif Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang ditetapkan oleh Malaysia selaku Pengerusi tahun ini.

Jelas beliau, daripada 18 inisiatif PED yang digariskan, dua daripadanya telah berjaya dimuktamadkan iaitu rundingan Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0; dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA).

Menurutnya, kedua-dua perjanjian yang telah ditambah baik itu dijadualkan ditandatangani semasa Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-47 pada Oktober depan di Kuala Lumpur.

Jelasnya, AECC yakin kejayaan itu akan menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan dan daya saing ASEAN yang berterusan.

“Kejayaan memuktamadkan rundingan ini juga dijangka meningkatkan integrasi ekonomi serantau dan menjana manfaat ekonomi yang besar untuk ASEAN dalam menghadapi ketidaktentuan landskap ekonomi global.

“Lebih-lebih ATIGA yang telah lama dianggap sebagai asas integrasi ekonomi ASEAN yang kini akan mengandungi peruntukan yang berpandangan jauh dan bermakna secara komersial ke arah meningkatkan perdagangan serantau, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dan memperhebat integrasi ekonomi serantau,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast