Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – UMNO Kedah melahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap kegagalan pentadbiran kerajaan negeri dalam menangani krisis yang melanda Kedah Darul Aman FC (KDA FC), sehingga menyebabkan pasukan tersebut terkeluar dari saingan Liga Super musim 2025/26.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, KDA FC yang selama ini menjadi lambang kebanggaan dan semangat rakyat Kedah, kini terpaksa menarik diri daripada Liga Super akibat kegagalan memenuhi syarat pelesenan kelab yang ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL).

Jelasnya, situasi itu mencerminkan kelemahan ketara dalam kepimpinan kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang gagal menyediakan sokongan dan penyelesaian kepada masalah kewangan yang membelenggu pasukan.

Sebaliknya, ujar beliau, pentadbiran kerajaan negeri lebih cenderung bermain politik dan menuding jari, tanpa mengambil langkah proaktif untuk menyelamatkan institusi bola sepak yang telah lama menjadi sumber inspirasi kepada rakyat Kedah.

“Kegagalan ini bukan sahaja menjejaskan imej negeri, tetapi juga memberi kesan negatif kepada pembangunan bakat muda tempatan dan ekonomi setempat, termasuk peniaga kecil yang bergantung kepada aktiviti perlawanan bola sepak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, MFL memaklumkan KDA FC serta Perak FC tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan selepas gagal memperoleh lesen kebangsaan.

Ia berikutan kedua-dua pasukan itu gagal memenuhi kriteria kewangan seperti ditetapkan dalam Peraturan Pelesenan MFL Edisi 2024-2025 (MFL CLR), sekali gus menjadi punca utama lesen kebangsaan mereka ditolak.

Sementara itu, Shaiful Hazizy turut menggesa kerajaan negeri mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan tersebut dan segera merangka pelan pemulihan yang komprehensif untuk memastikan masa depan bola sepak Kedah tidak terus terjejas. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast