Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Dua pengurus program permotoran mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan ‘notis saman hadir’ palsu menyerupai dokumen rasmi polis di tempat awam bagi menipu orang ramai.

Tan Kok Ho, 43, dan Denise Tan Ying Chyuan, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim dan Illi Marisqa Khalizan.

Mengikut dua pertuduhan, dua lelaki itu didakwa bersama-sama menggunakan notis menyerupai notis rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM 170A) sedangkan mereka mengetahui dokumen itu palsu dengan niat untuk menipu dan memperdayakan orang awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di parkir sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang dan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Mei dan 11 Mei lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan dengan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurainizatul Farhana Zainal dan Syafika Azwa Fikri mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Phang Soon Mun yang mewakili dua lelaki itu merayu mereka dikenakan jaminan pada kadar rendah kerana anak guamnya perlu menanggung keluarga.

“Kok Ho sudah berkahwin, mempunyai dua anak berusia lima dan tiga tahun sementara Denise mempunyai tiga anak berusia 10, 12 dan 14 tahun,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Atiqah dan Illi Marisqa membenarkan setiap tertuduh diberi ikat jamin berjumlah RM6,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 2 Julai depan.

Minggu lalu, tular video di media sosial memaparkan seorang individu menerima surat menyerupai kertas saman polis di cermin depan kenderaan sambal menyuarakan kebimbangan sekiranya ia merupakan taktik terbaharu scammer. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast