KUALA LUMPUR – Sebarang kenyataan yang menjurus kepada jumlah kerusi yang ingin ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 perlu dihentikan segera.
Exco Pemuda Barisan Nasional (BN) Pusat, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu berkata, kenyataan seperti itu tidak membawa sebarang nilai tambah terhadap agenda kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Apatah lagi, kata Bendahari Pemuda UMNO Sabah, kenyataan itu dibuat dalam situasi rakyat sedang berhadapan dengan tekanan kos sara hidup, harga barangan yang tidak menentu serta jurang pembangunan luar bandar yang masih ketara.
Tegas beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu, politik bukanlah semata-mata tentang angka atau mendabik dada di pentas terbuka, sebaliknya ia adalah soal amanah, integriti dan kesungguhan dalam memberi khidmat.
“Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan pramatang seperti ini hanya mencetuskan persepsi bahawa ada segelintir pemimpin terlalu ghairah menghitung kerusi dan pengaruh, berbanding memberi perhatian kepada masalah rakyat yang sepatutnya menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya lebih berdisiplin dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kepada umum.
Katanya, proses rundingan yang sedang berjalan perlu dihormati dan mana-mana pihak tidak seharusnya mendahului keputusan kepimpinan tertinggi mana-mana gabungan atau parti.
Ujar beliau, kepercayaan rakyat hanya boleh dibina melalui kesatuan tindakan dan keikhlasan khidmat, bukan melalui perlumbaan pengaruh secara terbuka yang boleh mencetuskan kekeliruan dan perpecahan.
“Fokus utama kita kini seharusnya ialah memperkukuh usaha di peringkat akar umbi, memperbaiki kelemahan yang lalu dan menunjukkan komitmen sebenar untuk membantu rakyat yang sedang bergelut dalam pelbagai aspek kehidupan,” katanya.
Tambah Anil, sebagai pemimpin muda, beliau percaya pendekatan politik yang matang, berhemah dan beradab adalah jalan terbaik untuk mengangkat martabat politik di negeri ini.
“Jangan jadikan politik sebagai medan menunjuk kuasa, tetapi jadikan ia ruang untuk mempamerkan integriti, tanggungjawab dan keikhlasan dalam berbakti kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















