KUALA LUNPUR – Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia–Malaysia–Thailand (IMT-GT) bakal memberi rangsangan ekonomi menerusi sokongan projek infrastruktur fizikal bernilai hampir US$39 bilion (RM165.3 bilion) kepada ketiga-tiga negara berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia melibatkan projek yang difokuskan dalam aspek transformasi ekonomi, pelancongan, pertanian, sektor halal serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Saya juga ingin mengucap terima kasih kepada Thailand kerana melaksanakan pelan tindakan dengan cepat. Beberapa projek di sempadan termasuk laluan ke Rantau Panjang dan jambatan sempadan Sungai Golok berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Rangka Kerjasama IMT-GT mengenai Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sini hari ini.
Anwar menambah, pendapatan rakyat juga menjadi keutamaan dalam agenda kerjasama IMT-GT selain pembangunan ekonomi, isu perubahan iklim yang memberi kesan kepada kehidupan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada menteri-menteri yang terlibat kerana buat persiapan rapi untuk sesi ini,” katanya.
Pada masa sama, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Masato Kanda yang baru yang dilantik sebagai Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB) pada Februari lalu.

Beliau turut melahirkan keyakinan kepimpinan baharu itu mampu meningkatkan sokongan terhadap pelaksanaan kerjasama IMT-GT.
Beliau turut berharap agenda yang dirangka dapat diterima semua pihak demi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Pada majlis itu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli turut membuat pembentangan bertajuk “Memperkukuh Kerjasama Sub-Rantau bagi Menangani Cabaran Global”. – MalaysiaGazette
















