KUALA LUMPUR – Bintang muda Manchester United (MU), Amad Diallo tampil menjelaskan tindakan kontroversinya menunjukkan isyarat lucah kepada penonton selepas menentang ASEAN All Stars, malam kelmarin.
Menurut pemain kelahiran Ivory Coast itu, tindakannya berpunca daripada rasa marah terhadap segelintir penyokong yang didakwa menghina ibunya.
“Saya ada rasa hormat terhadap orang tetapi bukan kepada mereka yang menghina ibu saya.
“Saya tak sepatutnya bertindak begitu, tapi saya tidak menyesal dengan apa yang saya buat,” ujarnya di laman X.
Sementara, Amad turut menyatakan rasa penghargaan terhadap sambutan hangat rakyat Malaysia sepanjang kunjungan pasukan itu ke negara ini.
“Kami menikmati masa yang hebat di Malaysia bersama orang-orang yang baik,” kata pemain yang berusia 22 tahun itu.
Difahamkan kemarahan Amad berpunca daripada tindakan segelintir penyokong yang memanggilnya dengan nama “Diallo”.
Nama itu membawa trauma kepada Amad kerana dipercayai pernah dikaitkan dengan sejarah pahit melibatkan sindiket penyeludupan kanak-kanak dan kini lebih selesa dikenali dengan nama pertamanya sahaja.
Kelmarin selepas tamat perlawanan, tindakan Amad menunjukkan isyarat lucah dirakam sewaktu dia berjalan menuju ke bas pasukan.
Dia dikatakan ‘koyak’ akibat diejek sebahagian penyokong yang hadir mengkritik persembahan buruk MU sepanjang musim ini.
Insiden itu berlaku selepas skuad The Red Devils mengalami kekalahan memalukan di hadapan lebih 72,000 penonton, kali ini dalam perlawanan pasca musim yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
United tewas mengejut 0-1 di tangan pada perlawanan itu. – MalaysiaGazette















