Najib Razak
Isham Jalil memberi pandangan ketika menjadi ahli panel pada sesi bertajuk 'Konsep 1Malaysia Yang Inklusif' pada program sesi dialog awam 'Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?' di Wisma MCA, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 1 Julai depan sebagai tarikh keputusan permohonan komital terhadap bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil atau nama sebenarnya, Hizatul Isham Abdul Jalil pada 30 September tahun lalu.

Ini berhubung kenyataannya yang didakwa menghina mahkamah menerusi satu temu bual bertajuk “Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?.

Pada prosiding, kata Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, berhujah kenyataan Isham berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap institusi kehakiman di negara ini.

Beliau juga mendakwa tindakan Isham itu merupakan satu bentuk campur tangan serius dalam pentadbiran keadilan.

“Responden mempertikaikan tindakan dan keputusan Mahkamah Persekutuan serta Mahkamah Tinggi dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

“Ini mencemarkan integriti badan kehakiman dan menjadikannya bahan cemuhan,” katanya semasa prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy hari ini.

Permohonan komital oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) difailkan pada 28 Disember 2023 bertujuan agar Isham dikenakan tindakan sama ada penjara atau denda kerana menghina mahkamah.

Rakaman temu bual tersebut disiarkan menerusi laman sosial Facebook ‘The Malaya Post’ ketika sesi tersebut.

Antara kandungan percakapan Isham didakwa mengandungi kenyataan yang secara tersurat atau tersirat didakwa mempertikaikan kewibawaan hakim serta mendakwa berlaku ketidakadilan dalam proses perbicaraan dan rayuan kes berkenaan.

Bagaimanapun, peguam Tan Sri Azizan Harun yang mewakili Isham berhujah bahawa kenyataan anak guamnya tidak berniat mencemarkan institusi kehakiman, malah ia adalah pendapat umum yang wajar dipertimbangkan dalam era media sosial.

“Pendapat seperti ini pernah dibangkitkan oleh pasukan peguam Najib sendiri di mahkamah. Jadi mengapa Isham tidak boleh menyatakan perkara sama di ruang awam?” soalnya.

Beliau turut menegaskan bahawa hujahan yang dikemukakan dalam pendengaran permohonan komital itu berbeza daripada peringkat permohonan kebenaran sebelum ini, sekali gus menimbulkan kekaburan dalam menyediakan pembelaan yang sewajarnya.

Muniandy menetapkan 1 Julai sebagai tarikh keputusan selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast