KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung kenyataannya yang menyamakan prosiding Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan ‘pendengaran ala Nazi-Jerman’.
Menurut kenyataan AGC, kenyataan tersebut dibuat Muhammad Shafee dalam konteks perbicaraan kes yang sedang berlangsung dan ia merupakan satu serangan terbuka yang serius terhadap maruah dan kebebasan institusi kehakiman negara.
“Peguam negara memandang serius perkara ini sebagai isu melibatkan kepentingan perlembagaan dan institusi,” katanya.
Tambahnya, tindakan Muhammad Shafee bukan sahaja menjejaskan persepsi awam terhadap keadilan yang sedang ditegakkan, malah berpotensi melemahkan keyakinan terhadap institusi kehakiman secara keseluruhan.
Prosiding penghinaan Mahkamah itu akan diteruskan bagi memastikan tiada pihak yang sewenang-wenangnya memperlekehkan sistem kehakiman yang bebas dan berkecuali, ujarnya.
“Walaupun peguam berhak mencabar keputusan kehakiman melalui saluran undang-undang yang sewajarnya, kenyataan awam yang mencemarkan imej mahkamah atau menggugat keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan tidak boleh diterima dalam sistem perundangan kita,” katanya.
AGC menyatakan bahawa kenyataan tersebut dilihat sebagai satu bentuk tekanan awam yang tidak wajar terhadap mahkamah, sekali gus menjejaskan integriti prosiding yang sedang berjalan.
Malah jabatan itu turut menegaskan bahawa langkah ini adalah bagi menegakkan kedaulatan undang-undang serta memelihara kredibiliti badan kehakiman daripada sebarang bentuk tohmahan.
“Prosiding penghinaan mahkamah akan diteruskan bagi menegakkan kedaulatan undang-undang, memelihara integriti proses kehakiman, dan melindungi mahkamah daripada tohmahan serta tekanan awam yang tidak wajar,” jelasnya.
Muhammad Shafee Abdullah hari ini mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan pandangan berhubung kaitan ‘Nazi-Jerman’ yang dibuatnya semasa sidang media di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan firma Shafee and Co, pasukan peguamnya menjelaskan, justifikasi Muhammad Shafee untuk mengeluarkan pandangan tersebut dan menegaskan ia dibuat semasa menjawab soalan wartawan.
Shafee berkata demikian ketika menjawab soalan media jika sudah ada perintah mahkamah yang menyatakan penangguhan itu digunakan untuk prosiding akan datang.
Menjawab soalan itu, Shafee berkata, perintah sedemikian adalah tidak sah (paling banyak ia adalah perintah pentadbiran) sekiranya tiada pendengaran yang melibatkan kedua-dua pihak untuk penjelasan dan kami akan menangani perkara ini semasa pengurusan kes pada 30 Mei 2025. – MalaysiaGazette
















