KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita enam buah kediaman mewah serta sebidang tanah lot dianggarkan berjumlah kira-kira RM12 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuhraya bergelar Tan Sri susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Menurut sumber, sitaan itu susulan penggeledahan oleh Bahagian Siasatan SPRM di enam kediaman milik individu berkenaan yang terletak di ibu negara hari ini.
“Menerusi penggeledahan ini, selain menyita enam buah kediaman mewah serta sebidang tanah lot yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM12 juta, SPRM turut menemui kuda mewah bernilai ratusan ribu ringgit yang disyaki dibeli menggunakan wang SUKUK.
“SPRM turut memanggil Tan Sri beserta isterinya untuk dirakam percakapan hari ini bagaimanapun Tan Sri tidak hadir atas alasan masalah kesihatan.
Sumber berkata, SPRM dijangka akan memanggil antara 30 hingga 50 orang saksi untuk membantu siasatan selain meneruskan siasatan untuk mengesan aset milik Tan Sri dan isterinya di dalam dan luar negara.
Semalam, SPRM telah menyita pelbagai aset melibatkan tas tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai selain kediaman mewah keseluruhannya dianggarkan berjumlah kira-kira RM32 juta milik individu yang sama.
Dalam operasi itu juga, SPRM turut menemui sebuah setor simpanan pelbagai jenis minuman berakohol mewah di salah sebuah kediaman yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta dan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penggubahan wang haram.
Bahagian Komunikasi Strategik SPRM menjelaskan kesemua barang dan aset disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001. – MalaysiaGazette
















