KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita dan membekukan pelbagai aset dan akaun bank dianggar berjumlah kira-kira RM86 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuhraya bergelar Tan Sri susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Menurut sumber, sitaan itu termasuklah kenderaan, beg tangan, barangan kemas, jam tangan mewah dan hartanah manakala 14 akaun individu serta lapan akaun syarikat telah dibekukan susulan penggeledahan oleh Bahagian Siasatan SPRM di kediaman milik individu berkenaan yang terletak di ibu negara, baru-baru ini.
“Menerusi siasatan awal yang dilakukan, SPRM telah mengenal pasti modus operandi yang digunakan untuk menyeleweng dana berkenaan iaitu dengan menyalurkan dana terbabit kepada syarikat kontraktor milik Tan Sri tersebut melalui beberapa transaksi berjumlah ratusan jutaan ringgit.
“Wang tersebut kemudiannya diagihkan kepada syarikat dan individu tertentu termasuk akaun Tan Sri yang bertindak sebagai penggerak utama.
“Dana ini seterusnya dipindahkan ke beberapa entiti lain termasuk syarikat proksi dan akaun isteri Tan Sri terbabit di mana wang tersebut digunakan bagi pembelian pelbagai aset termasuk melakukan aktiviti perjudian,” katanya.
Sumber berkata, dana tersebut turut digunakan untuk perbelanjaan peribadi seperti pembelian hartanah dalam dan luar negara serta pelaburan yang dilakukan melalui pelbagai transaksi kewangan berlapis bertujuan mengaburi sumber asal dana.
Sumber turut memberitahu, setakat ini SPRM telah merakam percakapan seramai 45 individu dan dijangka akan memanggil antara 30 hingga 50 orang saksi untuk membantu siasatan.
“Selain telah merakam percakapan seramai 45 individu, SPRM telah memanggil Tan Sri beserta isterinya untuk dirakam percakapan semalam bagaimanapun individu berkenaan tidak hadir atas alasan masalah kesihatan.
“Selain pasangan suami isteri tersebut, anak-anak mereka dan juga individu yang terlibat akan dipanggil untuk dirakam percakapan,” katanya.
Dalam operasi baru-baru ini, selain menyita pelbagai aset mewah, SPRM turut menemui sebuah setor simpanan pelbagai jenis minuman berakohol mewah di salah sebuah kediaman yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta dan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penggubahan wang haram.
Bahagian Komunikasi Strategik SPRM menjelaskan kesemua barang dan aset disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001. – MalaysiaGazette
















