KUALA LUMPUR – Soalan-soalan perlembagaan yang dIrujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Sekyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 tidak bertujuan untuk mewujudkan kekebalan mutlak bagi seseorang individu.
Menurut Jabatan Peguam Negara (AGC), soalan-soalan itu membangkitkan isu perlembagaan yang baharu dan belum pernah diputuskan, khususnya yang berkaitan dengan hubungan antara litigasi sivil dan keupayaan seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan untuk melaksanakan fungsi eksekutifnya dengan berkesan.
Katanya, antara lapan soalan itu ialah sama ada tindakan sivil berkaitan perbuatan sebelum memegang jawatan boleh diteruskan sekiranya ia menjejaskan keupayaan Perdana Menteri untuk mentadbir dan sama ada perlembagaan secara implikasi memerlukan semakan ambang kehakiman dalam kes-kes seperti ini.
Selain itu turut ditanya ialah sama ada Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 Perlembagaan Persekutuan menyokong perlindungan procedural bagi menjaga pemisahan kuasa dan kestabilan institusi.
“Ini adalah soalan struktur mengenai tadbir urus perlembagaan, bukan soalan mengenai kekebalan peribadi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Pada 27 Mei lalu, Anwar memohon Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan.
Permohonan itu termasuk persoalan sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil yang difailkan oleh bekas penyelidiknya, Yusoff Rawther, empat tahun lalu.
Menerusi permohonan yang difailkan oleh firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad sebelum itu, Anwar memohon agar Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.
Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada tahun 2021, mendakwa bahawa beliau telah diserang di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.
Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Saman tersebut berkaitan kejadian yang didakwa berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Menurut AGC, proses rujukan perlembagaan diwujudkan bagi membolehkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan membuat penentuan yang muktamad terhadap isu-isu sebegini.
Katanya, AGC menghormati integriti mekanisme perlembagaan dan akan menilai sebarang permintaan untuk campur tangan berdasarkan merit undang-undang dan kepentingan awam, bukan sentimen yang berbaur politik.
Tambahnya, sebarang keputusan mengenai kesan peruntukan perlembagaan adalah terletak sepenuhnya dalam bidang kuasa Mahkamah Persekutuan menurut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette















