BATU PAHAT – Sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan dalam program Kampung Angkat Madani (KAM) untuk Kampung Parit Bilal dan Kampung Parit Ahmad, di sini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abd Ghani berkata, pemilihan dua kampung itu dijangka mampu meningkatkan sosioekonomi dan memberi peluang komuniti setempat menerokai aspek penambahbaikan kehidupan sambil mendekati kerajaan.
“Pelbagai projek akan dilaksanakan antaranya adalah menarik taraf fasaliti pendidikan, rumah ibadat, infrastruktur bagi memudahkan kehidupan seharian.
“Selain itu, inisiatif yang merangkumi aktiviti perkhidmatan sosial seperti Kursus Usahawan Coklat dan program outreach TVET MyCommodity juga dilaksanakan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani di Dewan Serbaguna Taman Melodi Kampung Parit Bilal, di sini, hari ini.
Katanya, inisiatif yang memberi manfaat kepada pelbagai peringkat penduduk kampung itu turut melibatkan kerjasama strategik kementerian dan agensi-agensi di bawahnya, Pejabat Daerah Batu Pahat, Pejabat Pembangunan Negeri Johor, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pemimpin komuniti.
Pihak kementerian katanya, percaya dengan kemudahan-kemudahan yang ditambah baik dapat meningkatkan sosioekonomi dan memberi peluang kepada komuniti setempat dalam meneroka aspek penambahbaikan kehidupan sambil mendekati kerajaan.
Menurutnya, melalui program itu perkhidmatan sosial seperti Outreach TVET MyCommodity yang telah diadakan pada Oktober 2024 dapat membuka peluang kepada generasi belia tempatan untuk menceburi bidang kerjaya dalam
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agrikomoditi, terutama sektor sawit, melalui penerangan dan sesi konsultasi industri.
Ujarnya, Ini secara tidak langsung dapat mencetus minat baharu dalam kalangan anak-anak muda dan menambah peluang pekerjaan yang lumayan seterusnya dapat menyumbang kepada keluarga dan komuniti sekitar.
“Saya berharap Program Kampung Angkat Madani akan menjadi mercu tanda kejayaan dan inspirasi kerajaan untuk meneruskan usaha-usaha pembangunan di dalam negara,” katanya.- MalaysiaGazette
















