Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan kekebalan bersyarat daripada Mahkamah Persekutuan berhubung saman sivil oleh Muhammad Yusoff Rawther menimbulkan persoalan besar mengenai kekebalan seorang Perdana Menteri.

Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan tiada siapa termasuk Perdana Menteri yang boleh berada di atas undang-undang.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Akin sebagai mengelirukan serta menyimpang daripada isu sebenar.

“Permohonan itu menyentuh isu sama ada, di bawah Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan menikmati kekebalan terhad daripada tindakan sivil berhubung dakwaan perlakuan peribadi sebelum pelantikan, jika tindakan itu menjejaskan fungsi Eksekutif dan menggugat pengasingan kuasa,” kata Takiyuddin.

Shamsul Iskandar sebelum ini menafikan dakwaan bahawa Anwar cuba mendapatkan kekebalan undang-undang dalam kes saman sivil yang difailkan terhadapnya.

Takiyuddin berkata perkara tersebut pernah terjadi dengan kes yang pernah dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, antara 2017 hingga 2019 apabila beliau disaman oleh Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, berkaitan dakwaan salah guna kuasa dalam isu 1Malaysia Development Bhd.

Pada 19 November 2019, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Perdana Menteri adalah ‘pegawai awam’ dan boleh disaman atas dakwaan penyalahgunaan kuasa, sekali gus menetapkan duluan bahawa tiada kekebalan bagi Perdana Menteri terhadap tindakan sivil berkaitan kuasa awam atau tindakan peribadi.

“Dengan kata lain, tiada seorang pun warganegara, termasuk Perdana Menteri, harus berada di atas undang-undang dan tiada sebarang kedudukan boleh digunakan sebagai perisai undang-undang untuk tindakan peribadi,” jelas Takiyuddin lagi.

Dalam pada itu, Takiyuddin menzahirkan keyakinan bahawa badan kehakiman akan terus bertindak bebas dan profesional tanpa dipengaruhi oleh tekanan politik, kedudukan awam, mahupun cubaan untuk mendapatkan kekebalan istimewa.

“Mahkamah perlu diberi ruang untuk menjalankan peranannya tanpa gangguan, dan prinsip keluhuran undang-undang perlu dikekalkan dalam apa jua keadaan,” ujar kenyataan itu.

Justeru itu, PN jelas Takiyuddin akan terus memantau kes berkenaan dan menyuarakan kebimbangan rakyat agar keadilan tidak dikompromi demi mana-mana tokoh politik, sama ada dari kerajaan atau pembangkang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast