Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan

KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan menyifatkan adalah lebih baik untuk MCA keluar sahaja daripada Kerajaan Perpaduan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Bangi itu, ia berikutan tindak-tanduk pemimpin MCA khususnya Presiden, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang berterusan menyerang Kerajaan Madani dengan fakta yang salah dan separuh masak.

Terbaharu, ujarnya, berkenaan pertikaian peraturan pemansuhan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang mana dibuat ketika pentadbiran kerajaan terdahulu yang mana Ka Siong merupakan salah seorang menteri dalam Kabinet itu.

Bagaimanapun, jelas beliau, ketika fakta itu didedahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, Ka Siong sebaliknya mempertahankan diri bahawa ia bukan soal peraturan, tetapi berkenaan pelaksanaan.

“Aik? Sebelum ini dia (Ka Siong) sendiri yang tulis status berbunyi “LPG: DARI RM26 KEPADA RM70”.

“Memberi gambaran bahawa ini peraturan baru, dan subsidi LPG sudah ditarik.

“Sekarang alih tiang gol, kata isunya perlaksanaan pula. Semalam lain, hari ini lain,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Menurut Syahredzan, beliau tidak pernah menyatakan pandangan berhubung tindakan MCA yang bertali arus menyerang kerajaan Madani, meskipun kononnya berada dalam blok kerajaan.

Bagaimanapun, tegasnya, beliau terpaksa mengulas kali ini selepas pemimpin MCA terus membangkitkan pelbagai isu seperti penjualan saham Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); MyKiosk dan terbaharu berkenaan isu tong gas LPG.

“Kalau asyik menyerang Kerajaan MADANI dengan ‘half-truths’ dan fakta yang salah, sudah terang lagi bersuluh MCA tidak ikhlas bersama dengan Kerajaan ini.

“Ada baiknya mereka nyah sahaja dari kerajaan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast