PETALING JAYA – Pengendali platform media sosial diharap sama-sama bertanggungjawab dalam menyiarkan kandungan-kandungan sensitif termasuk kes bunuh diri.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, tanggungjawab mengawal kandungan sedemikian bukan hanya dipikul oleh media arus perdana sahaja namun turut melibatkan semua jenis media.
Ia juga perlu dilakukan di semua peringkat bermula daripada wartawan sehingga ke pengerusi organisasi media supaya kandungan bunuh diri tidak disiar atau diterbitkan sewenang-wenangnya.
Bercakap semasa sidang media selepas melancarkan Garis Panduan Untuk Pelaporan dan Perkongsian Kandungan Berkaitan Bunuh Diri di sini, hari ini, Fahmi dilihat kecewa kerana terdapat pengendali platform media sosial yang masih tidak mematuhi undang-undang berhubung penyebaran kandungan yang memudaratkan.
“Banyak platform (pengendali media sosial) yang rasa diri mereka lebih besar daripada undang-undang. Ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di negara-negara lain termasuk di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik.
“Sikap platform-platform ini boleh dikatakan nak ‘mentekedarah’. Bab buat duit, cepat sahaja (tetapi) bab mematuhi undang-undang memang lambat,” katanya.
Tambah Fahmi, beliau telah meminta pengendali media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram untuk menyertai Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) supaya lebih memahami garis panduan yang perlu dipatuhi.
Tambahan pula, CMCF katanya, merupakan inisiatif daripada pihak industri media sendiri dan bukannya ditubuhkan di bawah kerajaan.
Bagaimanapun menurut beliau, hanya TikTok yang menyertai CMCF manakala Facebook dan Instagram masih belum berbuat demikian walaupun digesa kerajaan sejak sekian lama.
Katanya, Facebook dan Instagram memberi pelbagai alasan untuk tidak menyertai CMCF.
Sehubungan itu, bagi menangani masalah tersebut, Malaysia bersama negara-negara serantau melakukan inisiatif melalui Deklarasi Kuala Lumpur yang akan dimuktamadkan dalam Sidang Kemuncak Asean ke-47, Oktober nanti.
Menurut Fahmi, deklarasi itu adalah penzahiran hasrat bersama negara Asean untuk memastikan semua platform digital menghormati dan mematuhi undang-undang serta menjaga keselamatan sosial dalam negara masing-masing.
“Pelancaran garis panduan hari ini disifatkan sebagai langkah penting dalam memastikan pelaporan isu bunuh diri dilakukan dengan penuh tanggungjawab, empati dan kesedaran terhadap kesihatan mental masyarakat.
“Ini soal empati, kepekaan dan tanggungjawab sosial. Harapan saya garis panduan ini dapat dihadam dan diamalkan oleh semua pihak,” ujar beliau lagi -MalaysiaGazette
















