KUANTAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa nahas kemalangan jalan raya membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di alan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi tadi.
Baginda berdua amat dukacita atas pemergian kesemua mangsa dalam kemalangan tragis berkenaan dan mendoakan agar roh kesemua mereka dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
“Semoga waris serta ahli keluarga yang ditinggalkan dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” titah baginda dalam Facebook Kesultanan Pahang.
Dalam pada itu, baginda berdua turut mendoakan agar mangsa-mangsa yang cedera dan masih dirawat dikurniakan kesembuhan serta kembali kuat meneruskan kehidupan mendatang. – MalaysiaGazette















