Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam (kanan) memeriksa bas penumpang yang membawa pelajar sekolah ketika operasi OPS Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Plaza Tol Gombak, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 10 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,111 kenderaan diberikan notis sepanjang pelaksanaan Ops Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2025 anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dari 4 hingga 9 Jun lalu.

Pengarahnya, Hamidi Adam berkata, dalam operasi tersebut selama enam hari sebanyak 33,988 kenderaan diperiksa.

“Dari jumlah tersebut, sebanyak 26 kenderaan telah disita termasuk 23 motosikal, dua kereta dan sebuah lori kecil.

“Pelbagai kesalahan yang dikesan melibatkan 772 motosikal, 166 kenderaan perkhidmatan barangan atau lori, 196 kereta dan kenderaan perkhidmatan awam iaitu bas sebanyak 7 buah,” katanya kepada pemberita di Plaza Tol Gombak, di sini, hari ini.

Ops HRAA 2025 JPJWPKL melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) (20).

Selain itu, Hamidi berkata, JPJ WPKL telah mengeluarkan sebanyak 2,437 notis sehingga dari 4 hingga 9 Jun atas pelbagai kesalahan.

“Beberapa kenderaan dan pemandu gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya,” katanya.

“JPJWPKL telah mengeluarkan notis JPJ P22 di mana terdapat pemandu dan kenderaan yang masih gagal mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan termasuk LKM tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans sebanyak 657 kenderaan.

“Seramai 625 pemandu diambil tindakan kerana tiada lesen memandu yang sah, dan lesen memandu telah tamat tempoh,” katanya.

Menurut Hamidi, bagi kesalahan teknikal pula, sebanyak 718 kenderaan dikenakan tindakan melibatkan brek dan tayar botak, manakala lain-lain 200 kesalahan utama.

“Kesalahan berkaitan dengan kenderaan barangan sebanyak 332 lori, kesalahan kenderaan perkhidmatan awam sebanyak 27 bas.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan 2,559 kenderaan yang melakukan kesalahan sepanjang enam hari Ops Khas HRAA,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast