BUTTERWORTH – Tindakan licik sebuah syarikat pemborong minyak masak yang dipercayai menggunakan perkhidmatan syarikat kurier untuk mengedar minyak masak bersubsidi rentas negeri berjaya dibongkarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menerusi Ops Tiris 3.0 hari ini.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, serbuan dijalankan sepasukan penguat kuasa itu membawa kepada penemuan sebuah gudang tidak berlesen yang dijadikan lokasi penyimpanan minyak masak bersubsidi di kawasan Sungai Puyu, di sini.
Jelas beliau, sebanyak 14,280 paket minyak masak bersubsidi yang disimpan tanpa kebenaran sah ditemui hasil pemeriksaan di lokasi serbuan.
“Dalam serbuan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 60 tahun yang dipercayai pemandu lori syarikat pemborong telah ditahan.

“Suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen, permit atau lesen sah berkaitan penyimpanan atau pengedaran barang kawalan berjadual seperti yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].
“Turut disita ialah sebuah lori kargo milik syarikat pemborong berkenaan serta beberapa dokumen penting bagi membantu siasatan. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM204,500,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan, hari ini.
Mengulas mengenai modus operandi, Jegan berkata, sindiket ini menghantar minyak masak bersubsidi ke gudang kurier berlesen sebelum dipos kepada ejen untuk diedarkan di negeri Perlis.
“Aktiviti ini dipercayai sudah berjalan sejak tiga bulan lalu dengan penghantaran dilakukan dua kali sebulan menggunakan lori milik syarikat kurier.
“Ini satu taktik baharu, dahulu mereka edar terus kepada pelanggan berasaskan pesanan. Kini mereka guna perkhidmatan kurier, dipercayai dengan tujuan penghantaran rentas sempadan,” katanya. – MalaysiaGazette
















