JOHOR BAHRU – Persidangan UMNO bahagian pada tahun ini terutama di Johor bukan untuk beremosi atau sekadar acara tahunan yang kosong tanpa pengisian.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Md Israk Abdullah berkata, persidangan itu perlu dijadikan pentas muhasabah dan medan menyusun semula langkah perjuangan.

“Inilah ruang untuk kita memperkukuh saf, memperbetul kelemahan dan paling utama, mengangkat suara akar umbi agar parti ini terus kekal relevan dan berwibawa. Saya menyeru kepada semua perwakilan agar menggunakan ruang ini dengan sebaiknya.

“Suarakanlah pandangan, cadangan dan saranan secara matang, berhemah dan membina kerana setiap buah fikiran adalah denyut nadi sebenar yang menentukan hala tuju dan masa depan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Katanya, persidangan berkenaan perlu dilaksana dengan penuh tertib, adab dan tanggungjawab.

Sesi perbahasan ujarnya, perlu membangkitkan dan mencerminkan ketokohan serta kebijaksanaan sebagai ahli, bukan sekadar lantang beremosi tetapi jauh berpandangan dan tinggi iltizam perjuangan.

Tegasnya, semua pihak harus sedar dan insaf bahawa kekuatan UMNO tidak pernah lahir dari peringkat atas semata-mata, sebaliknya bertunjangkan akar umbi.

“Ia masih kekal hidup sehingga hari ini kerana sokongan setia dari cawangan-cawangan dan seluruh perwakilan yang saban hari mendengar suara rakyat, memahami denyut nadi masyarakat dan terus setia membawa panji perjuangan bangsa.

“Marilah kita terus merapatkan saf, menyemarakkan obor perjuangan dengan semangat Bangsa Johor, semangat yang tidak mudah goyah, sentiasa menjunjung tinggi maruah bangsa, agama dan tanah air tercinta,” katanya.

UMNO katanya, bukan milik individu tetapi milik seluruh bangsa yang mendambakan masa depan yang bermaruah dan berdaulat.

“Mari kita jadikan persidangan ini sebagai titik mula kepada gelombang kebangkitan yang lebih besar demi UMNO, demi rakyat, dan demi Johor yang lebih maju dan sejahtera.

“Saya mewakili seluruh saf Penerangan UMNO Johor ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap perwakilan yang terus kekal setia dalam perjuangan parti keramat ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast