KUALA LUMPUR – Dakwaan berlakunya intimidasi politik terhadap orang awam yang turut dilakukan oleh agensi dan penjawat awam adalah sesuatu yang serius dan amat mengecewakan.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia merupakan suatu kecenderungan corak pentadbiran yang sangat berbahaya dan tidak wajar wujud sama sekali dalam sebuah negara yang aman dan demokratik seperti Malaysia.
Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) berkata, rakyat Malaysia menolak sebarang bentuk penindasan, kezaliman atau sikap otokratik dan penyalahgunaan kuasa.
“Mutakhir ini kita mendengar aduan orang awam dan rakyat biasa yang di ganggu hak dan kebebasan bergerak, hak dan kebebasan mereka bersuara, malah hak mereka memberi pendapat.
“Lebih meresahkan, aduan ini bukan datangnya dari saf pembangkang, tapi dari kalangan penyokong kerajaan, tetapi tidak sealiran pemikiran,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Beliau mengulas mengenai kenyataan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli yang mendakwa menerima aduan daripada orang awam berhubung tindakan seolah-olah intimidasi oleh pihak berkuasa supaya tidak lagi membuat kandungan mengenai perjalanan dan keputusan pemilihan PKR 2025.
Tambah Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), banyak keresahan rakyat berhubung isu intimidasi politik itu tertumpu kepada dua kementerian termasuk Kementerian Komunikasi yang pernah dipimpin beliau sebelum ini.
“Berdasarkan pengalaman saya di KKOM ketika itu, saya mendapati penjawat awam sangat berdisiplin dan ‘apolitical ‘ sifatnya.
“Mereka tidak mungkin menekan rakyat seperti yang didakwa YB SDR RAFIZI.
“Jika ada berlaku, sudah pasti kerana mereka terpaksa mengikut arahan daripada atasan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Annuar mengingatkan pihak berkenaan supaya tidak menggunakan kuasa untuk menindas rakyat.
Tegas beliau, kuasa yang dimiliki mereka ketika ini hanya pinjaman sementara, justeru mengingatkan supaya berpada-pada dalam menggunakan atau `menyalahgunakan’ kuasa.
“Ingat pada hari esok…yang mungkin tidak sama dengan hari ini. Roda dunia itu sentiasa berputar dan ada naik turunnya.
“Keluhan YB SDR RAFIZI wajar diberi perhatian,” katanya. – MalaysiaGazette
















