Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman tiga individu termasuk dua pengarah syarikat dan seorang bekas penasihat jualan runcit sebuah bank di ibu negara disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM26,000.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman tiga individu termasuk dua pengarah syarikat dan seorang bekas penasihat jualan runcit sebuah bank di ibu negara disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM26,000.

Ia disyaki sebagai dorongan membantu, menyemak dan memasukkan permohonan pembiayaan peribadi milik pelanggan ke dalam Financing Origination System (FOS) sebelum proses kelulusan bayaran.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan ketiga-tiga suspek direman selama lima hari sehingga 15 Jun ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an telah ditahan kira-kira jam 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku antara tahun 2022 dan 2023 di mana kedua-dua pengarah syarikat terbabit telah bersubahat bersama penasihat jualan runcit untuk memperoleh suapan berjumlah kira-kira RM26,000.

“Kesemua suspek disyaki telah menerima suapan secara transaksi pindahan ke akaun bank milik penasihat jualan runcit terbabit dari akaun syarikat salah seorang pengarah syarikat terlibat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast