Tan Kah Harn didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan melibatkan pengambilan dan membenarkan warga asing tinggal di premisnya tanpa pas sah, bulan lalu.

Tertuduh, Tan Kah Harn, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengambil enam pekerja warga Myanmar berusia antara 22 hingga 43 tahun tanpa pas yang sah di sebuah premis di West Jelutong di sini, jam 1.30 tengah hari pada 29 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih enam tahun serta boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membenarkan seorang warga asing Myanmar yang tiada pas sah masuk dan tinggal di premis berkenaan pada masa dan tempat yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 55E(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi pertuduhan pertama dan RM5,000 bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun dalam mitigasi rayuan, peguam tertuduh, K. Mahendran memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya sudah berkahwin, mempunyai dua anak dan turut menjaga ibu bapa yang uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi pertuduhan pertama dan RM5,000 bagi pertuduhan kedua dengan seorang penjamin.

Sebutan semula bagi kedua-dua kes ditetapkan  pada 15 Julai depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast