Tular dua lelaki bergaduh di Plaza Tol Kempas, Lebuhraya Utara-Selatan, Johor Bahru Ahad lalu.

JOHOR BAHRU – Tular seorang pemandu lori dipukul dan ditendang seorang penumpang sebuah kereta di Plaza Tol Kempas, Lebuhraya Utara-Selatan di sini Ahad lalu.

Dalam video berdurasi dua minit tujuh saat itu menunjukkan mulanya seorang penumpang kereta Proton Wira turun dari kereta selepas sebuah lori yang berada di belakangnya membunyikan hon.

Penumpang lelaki terbabit bertindak membuka pintu lori dan pemandu lori memintanya supaya ‘jalanlah’.

Kemudiannya penumpang lelaki terbabit berulang kali bertanya ‘kenapa?’ sambil membuka pintu lori sebelum melempang dan memukul kepala pemandu lori tersebut.

Pemandu lori berkenaan turut menendang pemandu kereta berkenaan sebelum insiden tegang itu dileraikan oleh pengawal keselamatan di plaza tol berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemandu lori berkenaan, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun pukul 5.35 petang Ahad lalu.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada hari yang sama sekitar pukul 2.30 petang ketika pengadu sedang menunggu giliran untuk membayar tol.

“Pengadu yang memandu lori dikatakan membunyikan hon kerana sebuah kereta jenis Proton Wira di hadapannya tidak bergerak walaupun palang tol telah terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Balveer, situasi itu mencetuskan pertengkaran apabila penumpang lelaki tersebut keluar dari kereta tersebut lalu meminta pengadu membuka pintu lori.

“Setelah pintu dibuka, lelaki berkenaan didakwa memukul muka dan kepala pengadu beberapa kali sebelum pengadu bertindak mempertahankan diri dengan menendang lelaki terbabit keluar dari lori,” katanya.

Balveer berkata, pengadu mengalami kesakitan di bahagian belakang kepala akibat kejadian itu.

Menurutnya, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung insiden pergaduhan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast