Sebuah lori merempuh rumah banglo di Kilometer 45 Jalan Mersing, Kampung Seri Lukut, petang tadi.

KLUANG – Sebuah lori merempuh sebuah banglo ketika cuba mengelak satu motosikal di Kilometer 45 Jalan Mersing, Kampung Seri Lukut di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima aduan kejadian tersebut pada pukul 4.04 petang.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku pukul 8.20 pagi semasa lori jenis Hino yang dipandu Muzhaffar Adib Mohd Ariffin berusia 37 tahun dalam perjalanan dari arah Mersing hendak ke Kahang.

“Apabila sempai di lokasi kejadian pemandu berkenaan cuba mengelak sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan membelok ke kanan secara tiba-tiba.

“Lori berkenaan cuba mengelak ke sebelah kanan namun hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan sebelah kanan lalu merempuh sebuah rumah banglo setingkat tidak berpenghuni yang berada di bahu jalan itu,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, akibat pelanggaran tersebut pemandu lori berkenaan yang beralamat di Kluang luka ringan di tangan kanan.

Menurutnya, lori tersebut mengalami kerosakan di bahagian hadapan, cermin hadapan pecah selain bumper, bonet depan dan bumbung kemek.

Kerosakan rumah itu pula melibatkan  bahagian bumbung, syiling rumah dan dinding dapur.

Pihaknya kata beliau, sudah menahan pemandu lori untuk saringan awal air kencing dan mendapati hasil ujian saringan airnya negatif dadah.- MalaysiaGazette

 

Caption gambar: Sebuah lori terbabas dan merempuh sebuah rumah kosong di Jalan Kampung Seri Lukut, Kluang hari ini.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast