Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin. - Foto: UMNO Online

KUALA LUMPUR – UMNO Sabah menyambut secara terbuka kesediaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bersaing secara demokratik dengan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pertembungan dalam pilihan raya bukan sesuatu yang menakutkan dalam amalan demokrasi.

Sebaliknya, tambah Ahli Parlimen Kinabatangan berkenaan, ia merupakan medan terbaik untuk menilai siapa sebenarnya mendapat kepercayaan rakyat berdasarkan kekuatan sendiri, bukan sokongan pinjaman atau formula pintas.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah tidak menyesuaikan kedudukannya semata-mata berdasarkan kenyataan pihak lain.

“Kita tidak menunggu lampu hijau daripada mana-mana pihak untuk menyatakan pendirian atau mengatur langkah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bung Moktar mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali semalam yang bersetuju sekiranya gabungan itu bertembung dengan BN pada PRN-17, selepas mengambil kira ‘hajat’ Bung Moktar.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, pertembungan antara kedua-dua gabungan itu memperlihatkan pendekatan terbaik bagi menyerahkan mandat sepenuhnya kepada rakyat untuk menentukan parti pilihan mereka.

Pada 3 Jun lalu, Bung Moktar menegaskan, hanya akan mempertimbangkan kerjasama dengan GRS selepas PRN17 susulan dakwaan sejarah hitam pernah dilalui UMNO Sabah ketika bersama GRS, menyebabkannya perlu menilai secara teliti sebarang kerjasama dengan gabungan itu.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, BN tidak menolak kerjasama, tetapi tidak mahu bekerjasama hanya untuk menghiasi angka atau mengabsahkan kekuasaan yang rapuh.

Sebaliknya, tegas beliau, BN mahu berkawan dan bekerjasama dengan mereka yang jujur bukan sekadar dalam perjanjian di atas kertas, tetapi jujur dalam pelaksanaan dasar, dalam menghormati peranan rakan dan dalam memelihara integriti sistem politik.

“Kerjasama politik tanpa kejujuran ibarat membina rumah atas lumpur ia mungkin berdiri sebentar, tetapi pasti runtuh dalam ujian.

“BN tidak akan lagi membina di atas lumpur. Kami telah belajar, dan rakyat juga telah menyaksikan persefahaman yang tidak berpaksikan niat yang tulus hanya melahirkan kerajaan yang lemah, tidak konsisten, dan tidak diyakini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast