Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – MCA menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun, yang dipanggil polis susulan kritikan beliau terhadap arahan kerajaan kepada syarikat telekomunikasi untuk menyerahkan data pengguna.

Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong menerusi hantaran di Facebooknya berkata, pemimpin muda itu akan mendapat sokongan penuh daripada parti dan bersedia memberi bantuan guaman jika diperlukan.

“Saya memberi jaminan bahawa beliau mendapat sokongan penuh daripada parti, dan kami akan menyediakan segala bantuan guaman yang diperlukan,” katanya selepas menemui Siew Mun yang baru sahaja keluar dari hospital.

Tambah Ka Siong, keberanian dan ketegasan Siew Mun dalam menyuarakan kebenaran serta membela rakyat amat mengagumkan.

“Rakyat berhak tahu mengapa Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meminta syarikat telekomunikasi menyerahkan data tersebut,” katanya.

Isu penyerahan data pengguna turut mencetuskan pelbagai reaksi selepas media melaporkan data telefon bimbit yang diperoleh daripada syarikat telekomunikasi diperuntukkan bagi kegunaan DOSM untuk tujuan penghasilan statistik rasmi negara. Ia turut menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan dan privasi data rakyat.

Terdahulu, Ka Siong memuat naik video membangkitkan isu yang sama dan mempersoalkan kewajaran tindakan kerajaan itu.

Tidak cukup dengan itu, Ka Siong kemudiannya mengadakan sidang media pada Jumaat lalu, bagi memberikan penegasan MCA amat komited dalam perkara yang melibatkan kepentingan awam.

“Apakah kerajaan fikir kita semua percaya bahawa pengumpulan data ini tiada kaitan dengan pengawasan dan kawalan terhadap rakyat? Kerajaan mungkin kata ‘tiada apa yang perlu dirisaukan’. Tetapi realitinya, semakin kuat kerajaan menafikan, semakin ramai suara rakyat Malaysia disekat.

“Apabila kritikan disekat dan pengumpulan data dipenuhi dengan intimidasi, maka ia bukan lagi mengenai statistik. Tetapi menimbulkan persoalan, sama ada ini negara demokratik atau sebaliknya?,” katanya dalam sidang media tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast