Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hasil konsolidasi fiskal susulan dasar ekonomi di bawah Kerajaan Madani meskipun tidak popular, namun telah membuka ruang kewangan kepada kerajaan untuk disalurkan semula kepada rakyat.

Ia termasuk langkah-langkah seperti menaikkan cukai perkhidmatan daripada enam peratus ke lapan peratus pada 1 Mac 2024 yang menyaksikan kutipan hasil cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) meningkat sebanyak 30.3 peratus.

Selain itu, menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, rasionalisai subsidi diesel pada 10 Jun 2024 juga dapat mengurangkan perbelanjan subsidi dan bantuan sosial sebanyak 19.4 peratus.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan defisit fiskal kerajaan Persekutuan menurun kepada 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2025 berbanding 5.7 peratus pada suku pertama 2024.

Jelas beliau, perkara itu membolehkan kerajaan menaikkan peruntukan inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada RM10 billion pada tahun 2024 kepada RM13 billion tahun ini.

“Bentuk subsidi bahan api sebelum ini bersifat pukal yang banyak memanfaatkan golongan berpendapatan tinggi berikutan kenderaan mereka yang kebanyakannya berkuasa besar dan menggunakan banyak bahan api.

“Jadi kita telah mula nampak bagaimana hasil dan perbelanjaan kerajaan dapat disusun semula supaya dapat membantu mereka yang layak dibantu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Penjelasan itu turut menjawab kepada tuduhan kononnya Kerajaan Madani gagal menguruskan ekonomi sehingga terpaksa menekan rakyat dengan cukai, kenaikan harga barang dan pengurangan subsidi.

Malah, terdapat dakwaan walaupun cukai baharu diperkenal, hasil negara tetap lebih rendah dari tahun 2023 yang bermaksud ekonomi tidak berkembang.

Sedangkan, pada hakikatnya, kutipan hasil pada 2024 dan tahun masih kukuh walaupun ekonomi dunia perlahan kesan daripada kejatuhan ekonomi China, permintaan global yang lembap dan perang Rusia-Ukraine dan Israel-Palestin.

Menjawab kepada tuduhan defisit semakin besar walaupun dapat bantuan one-off, kerajaan pada 2024 terpaksa menggunakan dividen Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Bank Negara Malaysia (BNM) dan wang tidak dituntut bagi mengelak hutang baharu yang boleh menyebabkan defisit menjadi lebih buruk.

Dalam masa sama, walaupun defisit besar, ia masih terkawal tidak seperti era 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mana perbelanjaan tidak direkod secara telus.

Mengenai dakwaan hutang negara meningkat pula, sebahagian besarnya adalah hutang warisan termasuk hutang 1MDB yang masih dibayar RM40 bilion, bon mega projek era kerajaan terdahulu dan kos bunga yang meningkat disebabkan kadar faedah global yang tinggi.

Dalam erti kata lain, Kerajaan Madani pada hakikatnya tidak menyembunyikan hutang, tidak mencipta hutang di luar bajet serta tidak memanipulasi akaun.

Sementara itu, kepada dakwaan nisbah hutang kepada KDNK meningkat yang dikaitkan kononnya ekonomi tidak berkembang, ia adalah dsiebabkan perbelanjaan untuk menyelamatkan ekonomi pasca pandemik Covid-19 selain bagi mengelak kemelesetan ekonomi.

Banyak negara lain juga berdepan situasi sama sebagai contoh United Kingdom yang mana nisbah hutang kepada KDNK negara itu adalah 97 peratus; Jepun (263 peratus) dan Singapura (168 peratus).

Pada hakikatnya, situasi di Malaysia adalah lebih baik iaitu masih di bawah paras amaran 70 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast