JOHOR BAHRU – Polis memburu dua pemuda yang didakwa mengganggu seorang wanita sedang mencuba pakaian dengan menarik tirai bilik persalinan di sebuah premis pakaian di Taman Mount Austin, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu berlaku semasa seorang wanita berusia 26 tahun sedang menukar pakaian.
“Semasa kejadian tersebut salah seorang lelaki berkenaan sedang memegang telefon bimbit. Kedua-duanya kemudian melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kejadian tersebut tular dalam media sosial dan pihaknya sedang menyiasat kes itu serta memburu kedua-dua suspek yang masih belum ditangkap.
Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Raub meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323.- MalaysiaGazette
















