PONTIAN – Sebuah bangunan Tadika Adventist di Jalan Mohd Salleh, Kampung Dalam, di sini, musnah dalam kejadian kebakaran hari ini.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 1 Julia Sani dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian berkata, ketika kejadian, tiada murid atau guru kerana sudah habis waktu persekolahan.
“Kebakaran disedari oleh orang awam yang melalui hadapan sekolah tersebut. Pihak bomba kemudian dihubungi pada pukul 2.46 petang untuk memadam kebakaran.
“Dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Perkhidmatan Perawatan Penyelamatan Kecemasan (EMRS) dangan 18 anggota dari BBP Pontian dan Pontian Baharu dikejarkan ke lokasi dengan jarak 2 kilometer.
“Sebaik tiba ke lokasi pukul 2.48 petang, didapati kebakaran melibatkan sebuah bangunan sekolah seluas 40 x 80 kaki dengan ketinggian 12 kaki. Sebanyak 70 peratus struktur bangunan tersebut telah pun musnah terbakar,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, operasi memadam kebakaran masih lagi dilakukan ketika ini dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette
















