MELAKA – “Saya tiba di rumah untuk bawa anak mendapatkan suntikan tiga bulan tetapi terkejut apabila mendapati suami tidak sedarkan diri manakala anak kami berada di bawah lengannya.
“Saya tak jumpa kesan darah atau cedera dan terus hubungi pihak hospital untuk bantuan sebelum suami disahkan telah meninggal dunia di rumah,”.
Demikian diceritakan Azura Abdul Malik, 37, mengenai kematian tragis suami, Nuruleffendy Ibrahim, 35, dan anak lelakinya, Nur Daniel, 3 bulan di rumah mereka kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Tambahnya, ketika kejadian bayinya itu masih bernyawa namun dalam keadaan lemah.
“Anak bongsu kami daripada tiga beradik bagaimanapun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan selepas saya dan adik ipar membawanya ke Hospital Melaka,” ujarnya ringkas.
ARTIKEL BERKAITAN
Sementara itu, adik iparnya, Masturadiana Ibrahim, 33 ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka berkata, dia terkejut kerana abangnya tidak pernah mengalami masalah jantung selama ini.
“Cuma semalam, dia ada mengadu pada kakak ipar sakit dada namun enggan mendapatkan rawatan di hospital.
“Tiba-tiba sahaja pagi ini kakak ipar berlari ke rumah saya yang terletak berhampiran rumahnya memberitahu abang dan anaknya sudah tidak sedarkan diri dalam bilik tidur,” katanya.
Tambahnya ketika kejadian, kakaknya baru pulang ke rumah dari pejabat untuk membawa anak bongsunya itu mendapatkan suntikan bayi pada usia tiga bulan.
“Hari ini juga merupakan hari pertama kakak bekerja selepas cuti bersalin tiga bulan dan tak sangka ia menjadi tragedi kehilangan dua insan tersayang,” katanya. – MalaysiaGazette
















