KUALA LUMPUR – Sabah bukan sahaja merupakan destinasi popular dengan keindahan alam semula jadinya namun Negeri Di Bawah Bayu itu turut terkenal sebagai syurga makanan laut yang segar, lazat dan murah.
Tourism Sabah berkata, dengan kepelbagaian masyarakat majmuk yang berbilang kaum di Sabah, makanan tradisional di negeri itu menjadi amat istimewa, kaya dengan warisan budaya dan rasa yang tersendiri.
Kata agensi kerajaan itu, pengalaman kulinari di Sabah tidak pernah terhenti kerana terdapat banyak lagi pilihan makanan yang menyelerakan dan terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan yang menanti untuk dicuba.
“Setiap destinasi di Sabah menawarkan keistimewaan kulinari yang tersendiri yang menjadikan setiap persinggahan menarik dengan tempat baharu untuk dicuba.
“Sama ada anda seorang penggemar makanan atau tidak, menambah pengalaman kulinari dalam setiap perjalanan pasti menyeronokkan. Tip berguna, sentiasalah semak waktu operasi restoran atau kedai makan sebelum berkunjung.
“Tiada yang lebih mengecewakan daripada tiba dan mendapati ia tutup sama ada anda meneroka pasar yang sibuk, berhenti seketika untuk makan atau menerokai makanan wajib cuba, pilihan makanan Sabah menjanjikan pengalaman yang memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabah Tourism menambah, antara yang perlu dicuba iaitu Mi Ngiu Chap atau Mi sup daging yang merupakan hidangan yang menggabungkan bebola daging, hirisan pelbagai bahagian lembu termasuk organ dalaman dan kuah berempah yang dimasak perlahan selama beberapa jam.
Selain itu, katanya, turut menjadi pilihan adalah mi ikan segar yang boleh dimakan apabila disalut kicap atau dihidangkan dengan sup cukup istimewa di negeri itu selain kepak ayam panggang yang diperap dengan ramuan istimewa di mana disalut secara sekata dan dibakar hingga sempurna untuk mendapatkan rasa salai yang memikat.
“Jika anda melawat kawasan utara Sabah, seperti Kudat, Pitas dan Kota Marudu, jangan lupa singgah di gerai tepi jalan Kampung Mengaris yang terletak sepanjang laluan Kota Belud – Kudat kerana terdapat dua jenis jagung yang ditanam dan dijual di sini iaitu jagung manis dan jagung pulut.
“Jagung ini dibakar di atas kayu api sehingga bahagian luarnya terbakar kehitaman dan menjadi kegemaran ramai kerana rasanya manis dan aroma yang memikat, enak dimakan ketika masih panas.
“Selain itu, Jalan Sulaman atau juga dikenali sebagai Salut, Tuaran juga terkenal sebagai tempat persinggahan popular untuk menikmati lokan bakar dan puding kelapa,” katanya.
Menu lain yang istimewa adalah nasi kuning dibungkus dengan daun pisang dan berbau menyelerakan dengan campuran kunyit yang dihidangkan bersama ayam goreng atau ikan tongkol, telur rebus dan sambal pedas. Antara tempat yang disyorkan termasuklah Restoran Haji Tamrin (Tawau), Restoran Sri Rimbawan (Sandakan) dan Mee Tauhu Corner di Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette
















