KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kota Belud-Tuaran berhampiran Bukit Kelawat, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 pagi apabila sebuah lori 10 tan dipandu lelaki berumur 51 tahun hilang kawalan ketika menuruni bukit.
“Lori terbabit kemudian merempuh sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu lelaki berumur 35 tahun sebelum melanggar motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan,” katanya.
Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala kedua-dua pemandu lori dan Toyota Hilux hanya mengalami kecederaan ringan.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















