Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki.

PUTRAJAYA – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) memperbetulkan gambaran salah dalam laporan media yang menyatakan Mahkamah Persekutuan membatalkan sepenuhnya Fatwa Pemikiran Liberalisme Dan Pluralisme Agama 2014.

Presidennya, Muhamad Hisham Marzuki berpendirian, laporan sedemikian adalah tidak tepat, mengelirukan dan tidak menggambarkan keputusan dan alasan penuh mahkamah.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan bahawa teras teologi fatwa yang menyentuh akidah individu Muslim adalah sah dan berkuat kuasa.

“Pembatalan hanya berlaku pada aspek-aspek yang melangkaui bidang kuasa perlembagaan negeri dan pemakaiannya kepada entiti bukan manusia,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

PPMM mengeluarkan kenyataan itu susulan keputusan panel empat hakim Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar untuk mencabar fatwa yang mengisytiharkan ia menyeleweng dan sesat.

Dalam keputusan majoriti 3-1, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat, fatwa tersebut tidak boleh digunakan terhadap SIS Forum kerana ia sebuah syarikat, bukan individu yang menganut agama Islam.

Beliau bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Tan Sri Nallini Pathmanathan membenarkan rayuan tersebut manakala Datuk Abu Bakar Jais mencapai keputusan menentang dan menolak rayuan itu.

Muhamad Hisham menjelaskan, mahkamah tidak membatalkan keseluruhan fatwa sebaliknya membuat keputusan terperinci dengan mengesahkan sebahagian dan mengetepikan sebahagian yang lain.

Bahagian fatwa yang kekal sah:
• Perenggan 1 fatwa, setakat mana ia menyatakan “mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam”.
• Perenggan 4 fatwa, yang menyatakan “mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam”.

Bahagian fatwa yang diketepikan:
• Pemakaian fatwa tersebut kepada SIS Forum (Malaysia) sebagai sebuah pertubuhan, institusi atau syarikat.
• Perenggan 2 fatwa, yang menyentuh pengharaman dan rampasan bahan terbitan.
• Perenggan 3 fatwa, yang mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat laman-laman sosial.

PPMM turut menyertakan alasan mahkamah terhadap:
Tafsiran `Orang yang Menganut Agama Islam’:
• Alasan utama fatwa tidak boleh terpakai kepada SIS Forum sebagai sebuah syarikat adalah kerana mahkamah mentafsir frasa Perlembagaan persons professing the religion of Islam sebagai merujuk hanya kepada manusia sebenar (natural persons) bukan entiti buatan seperti syarikat atau pertubuhan (artificial persons).
• Mahkamah menjelaskan sebuah syarikat sebagai entiti buatan tidak mempunyai kapasiti untuk melaksanakan Rukun Islam seperti melafazkan kalimah Syahadah, solat, puasa atau menunaikan haji. Dalam konteks yang sama, sebuah syarikat tiada kapasiti untuk bertaubat seperti yang dituntut oleh Perenggan 4 fatwa.

Melangkaui Bidang Kuasa Negeri:
• Mahkamah mendapati Perenggan 2 dan 3 fatwa adalah tidak sah kerana Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubalnya.
• Perkara berkaitan pengharaman penerbitan (Perenggan 2) adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
• Perkara berkaitan sekatan kandungan internet (Perenggan 3) adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan melibatkan agensi Persekutuan (SKMM).

Kebertanggungjawaban Individu Tetap Wujud:
• Mahkamah menegaskan bahawa walaupun fatwa tidak terpakai kepada syarikat, individu-individu yang menggerakkan syarikat atau pertubuhan itu tetap terikat dengan fatwa tersebut di bawah Perenggan 1 dan 4.
• Oleh itu, tidak timbul isu syarikat atau institusi boleh terlepas tanpa bertanggungjawab, kerana kebertanggungjawaban terletak pada bahu individu-individu di dalamnya.

Sehubungan itu, PPMM menyeru pihak media agar melaporkan keputusan mahkamah secara tepat dan holistik untuk memberi pemahaman yang benar kepada masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast